klik atas nuffnang

Wednesday, June 8, 2011

Tentu Jantina Anak

ANAK adalah anugerah Allah kepada pasangan suami isteri. Kita hanya boleh merancang kehidupan, tapi semua yang berlaku ditentukan oleh-Nya. Begitu juga dalam hal berkaitan jantina anak, baik lelaki atau perempuan, ia ditakdirkan bagi pasangan itu.
Sejak zaman silam lagi pelbagai kaedah dilakukan manusia untuk menentukan jantina janin sebelum dilahirkan berdasarkan kepercayaan dan cara hidup masing-masing, tetapi semuanya tiada kepastian.

Banyak kaedah yang sering diamalkan kononnya mampu menentukan jantina anak. Misalnya kaedah mengikat buah zakar kiri untuk mendapatkan anak lelaki dan ikat buah zakar kanan untuk anak perempuan. Kesudahannya membawa risiko kesihatan serius kepada suami.

Malah petua kuno seperti cara bersetubuh dengan mengikut masa dan tarikh tertentu yang kononnya bertujuan menentukan jantina anak dicuba ramai orang, namun kesudahannya hampa.

Perubahan arus global dengan pertumbuhan teknologi canggih hari ini pula menemukan beberapa kaedah moden yang lebih berkesan. Kaedah pengasingan sperma misalnya, ia mengasingkan Gen Y (yang menghasilkan anak lelaki) daripada Gen X (menghasilkan anak perempuan).

Kemudian pakar akan melakukan percantuman dalaman melalui proses IUI atau suntikan sperma ke dalam rahim, atau kaedah luaran seperti tabung uji, tetapi kedua-dua kaedah ini memerlukan kos besar.

Daripada sudut etika perubatan, mana-mana kaedah perubatan untuk mempengaruhi imbangan jantina manusia dalam dunia diharamkan kerana dikhuatiri menyebabkan taburan penduduk yang tidak seimbang.

Kaedah penentuan jantina hanya diharuskan jika ia untuk tujuan kebaikan seperti mengelak jantina janin tertentu kerana khuatir ia mengalami masalah kesihatan serius. Misalnya jika anak lelaki berisiko hidup sengsara, pasangan malang itu akan berusaha mendapatkan anak perempuan.

Sebelum ini, kaedah pemilihan jantina pernah dikeluarkan dalam ruangan ini, namun ia berdasarkan maklumat daripada beberapa pakar terdahulu yang pernah meninjau cara penentuan jantina sebelum melahirkan anak.

Antaranya jika seorang isteri klimaks ketika bersetubuh, kemungkinan mendapat anak lelaki. Itupun jika telur wanita itu keluar dalam tempoh 24 jam dan kandungan asid kurang dalam cecair faraj (ketika wanita itu klimaks).

Secara keseluruhannya, saya ingin tegaskan, tiada kaedah boleh menentukan jantina anak secara tepat.

Bagi saya, pasangan suami isteri perlu bersyukur dengan anugerah Allah. Sama ada lelaki atau perempuan, kita perlu menerimanya dengan hati terbuka dan penuh rasa kesyukuran serta menjaganya dengan baik.

Diari Dr. Ismail Thamby

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang