klik atas nuffnang

Sunday, July 15, 2012

melasma bukan penyakit

WANITA memang peka mengenai kecantikan dan penampilan. Sebiji jerawat tumbuh di pipi ketika datang bulan pun cukup mengganggu dan menggusarkan perasaan kerana parutnya mencela wajah, apa lagi jika mengalami melasma atau jeragat yang sukar dihilangkan. Tambah membimbangkan, kadangkala perubahan warna kulit ini sukar disembunyikan biarpun dengan solekan.

Melasma yang juga dikenali sebagai chloasma atau topeng kehamilan ialah masalah kulit yang biasa dialami penduduk Asia. Tompokan berwarna lebih gelap daripada warna sebenar kulit, tidak sekata dan tidak teratur itu biasanya berlaku di pipi, malah ada juga mengalaminya di hidung, atas bibir, dahi dan dagu.

Sama ada berwarna coklat muda, tua atau hitam, ia antara 10 jenis masalah kulit yang lazim dihadapi di Asia Tenggara. Masalah itu lebih kerap dihadapi wanita berbanding lelaki dengan nisbah 12:1, terutama yang mempunyai kulit keperangan, sawo matang dan kuning langsat.

Walaupun bukan sejenis penyakit, jika dibiarkan tanpa rawatan, ia akan menjadi serius dan menjejaskan penampilan.



Wanita dewasa (lingkungan usia 25 hingga 50 tahun) lebih terdedah kepada melasma. Masalah itu terjadi kerana apabila usia meningkat, hormon estrogen menjadi tidak stabil dan sukar dikawal.

Pendedahan kepada cahaya matahari turut menjadi punca. Tompokan itu biasanya berkembang secara beransur-ansur, menjadikannya lebih banyak hingga menjejaskan wajah.

Perunding kulit dan estetik Klinik Pakar Kulit Ko, Dr Thean Pooi Yee berkata, penggunaan krim tabir suria (sunblock) membantu melindungi kulit daripada pendedahan cahaya matahari secara langsung.

Pendedahan kulit secara langsung di bawah terik matahari juga boleh dielakkan dengan memakai payung atau topi. Bagaimanapun, pengeluaran hormon yang menyebabkan pertubuhan melasma tidak boleh dikawal.

“Melasma berlaku akibat rangsangan melanosit atau sel penghasil pigmen oleh hormon untuk menghasilkan lebih banyak melanin pigmen apabila kulit terdedah cahaya matahari.


“Di Asia, masalah melasma lazim di kalangan wanita kerana sinaran matahari lebih kuat. Ia boleh berkembang perlahan-lahan tanpa tanda keradangan,” katanya.

Walaupun ramai beranggapan wajah kelihatan lebih berseri ketika wanita hamil, tidak semua wanita melaluinya. Disebabkan perubahan hormon, ibu hamil turut mengalami melasma ketika trimester kedua dan ketiga disebabkan perubahan hormon. Tompokan melasma itu biasanya pudar dan lama kelamaan lenyap selepas melahirkan anak.

Selain itu, genetik antara faktor utama menentukan seseorang itu mudah mendapat melasma atau sebaliknya. Pengambilan pil pencegah kehamilan dan terapi penggantian hormon turut menjadi penyebab melasma.

Melasma boleh dibahagikan kepada melasma epidermal (menjejaskan lapisan luar kulit) dan melasma dermal (menjejaskan lapisan dalam kulit). Fokus merawat melasma ialah mengeluarkan pigmen sedia ada, selain menghalang pigmen baru daripada terbentuk.

Menurutnya, antara kaedah mengatasi masalah melasma ialah laser dan krim pencerah. Pengelupasan kulit mengandungi lapisan melasma dijalankan dengan larutan kimia.

Kaedah ini lebih sesuai untuk melasma epidermal dan hasilnya, kira-kira 50 hingga 70 peratus melasma akan berkurangan.

Selepas rawatan, pesakit harus menjaga kulit dengan rapi dengan melindunginya daripada cahaya matahari terik. Minimumkan pendedahan cahaya matahari di tengah hari dengan memakai topi.

Pelindung matahari sekurang-kurangnya SPF 30 mengandungi avobenzone, Mexoryl atau penghalang fizikal seperti titanium dioksida atau zink oksida hendaklah dipakai setiap hari.

Tidak seperti jerawat yang parutnya lama kelamaan akan pudar, melasma cukup degil dan sukar dihilangkan. Rawatan laser perlu dilakukan antara lapan hingga 10 kali bagi memudarkannya.


Sebab terjadi melasma:

  • Terdedah kepada cahaya matahari terik
  • Penggunaan hormon, misalnya pengambilan pil perancang
  • Penggunaan kosmetik/rawatan kulit tidak sesuai
  • Keturunan
  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

    klik tengah nuffnang