klik atas nuffnang

Friday, November 9, 2012

Risiko Uri Melekat

Adakah masalah uri melekat pada dinding rahim ini kerap berlaku?

Masalah uri melekat atau dikenali sebagai placenta accreta tidak kerap berlaku. Keadaan ini berlaku apabila uri melekat di kawasan otot dinding rahim (uterus) pada lapisan endometrium. Placenta increta pula adalah keadaan yang lebih kritikal iaitu uri tertanam ke dalam otot dinding rahim atau lapisan miometrium.

Placenta percreta pula adalah keadaan uri tertanam menembusi keseluruhan dinding rahim ke permukaan luarnya sehingga lapisan serosa dan melibatkan organ yang berdekatan seperti pundi kencing dan rektum. Lebih kurang 75 ke 78 peratus daripada kes uri melekat adalah jenis placenta accreta. Lebih kurang 17 peratus lagi adalah masalah placenta increta. Selebihnya, iaitu lima ke tujuh peratus disebabkan oleh masalah placenta percreta.

Jarang
Masalah ini amat jarang sekali berlaku dan boleh didapati satu dalam 2,500 kehamilan. Kebiasaannya ia mengakibatkan pendarahan teruk semasa trimester ketiga kehamilan dan selalunya mengakibatkan kelahiran agak pramatang.

Bagi anak pula, risiko uri melekat boleh dikatakan tiada kerana ia berlaku setelah anak dilahirkan kecuali jika anak itu pramatang. Namun, bagi ibu, ia boleh menyebabkan kehilangan darah yang banyak (pendarahan melebihi 500 mililiter), rahim tidak atau lambat mengecut, penggunaan prosedur pengeluaran plasenta secara manual, pemberian ubat oksitosik dan bius, jangkitan rahim, pendermaan darah, pembedahan mengikat saluran darah arteri iliak interna malah jika terdesak, pembuangan rahim. Seelok-eloknya, elakkan prosedur berkaitan (seperti di atas) melainkan jika perlu.


Apa yang menyebabkan masalah ini? Faktor risiko? Siapa yang berisiko mengalami masalah ini?

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko uri melekat adalah jika wanita yang hamil itu juga mengalami masalah plasenta previa. Plasenta previa dikatakan terjadi apabila plasenta atau uri berada di bahagian bawah rahim menyebabkan bukaan pangkal rahim tersekat. Masalah uri melekat boleh berlaku dalam 10 peratus wanita hamil yang juga mengalami plasenta previa.

Mereka yang berisiko tinggi untuk mangalami masalah ini adalah mereka yang pernah menjalani pembedahan pada rahim seperti D & C (pendilatan dan pengkuretan), sindrom Asherman (pelekatan pada dinding rahim), pembedahan miomektomi (pembuangan fibroid) dan juga pembedahan caesarean pada kelahiran lepas. Ini akan menyebabkan otot dinding rahim pada bahagian tersebut menjadi nipis berbanding pada bahagian lain menyebabkan plasenta yang menempel pada peringkat awal kehamilan akan menyebabkan uri (plasenta) tertanam dengan lebih dalam.

Apa tanda yang menunjukkan kehamilan seseorang wanita itu ada masalah?

Jika wanita tersebut mempunyai sejarah perubatan dan pembedahan lampau yang telah disebutkan di atas dan juga sekarang mengalami kehamilan plasenta previa.

Apakah cara untuk mengesan masalah ini?

Placenta accreta susah dikenali sehinggalah semasa proses kelahiran. Agak susah untuk mendiagnosis peringkat awal. Pengunaan imbasan ultrabunyi (ultrasound) boleh menolong doktor untuk ragu-ragu atau mengagak bahawa seseorang wanita itu mungkin mengalami placenta accreta. Dengan itu mereka akan membuat imbasan ultrabunyi yang lebih lanjut secara pengunaan imbasan ultrabunyi yang mempunyai colour doppler dan seterusnya ujian radiologi yang lebih lanjut seperti pengunaan magnetic resonant imaging (MRI) Bagaimanapun kedua-dua cara pengimejan di atas tidak dapat mendiagnosis placenta accreta secara tepat.

Placenta accreta selalunya disyaki jika plasenta masih tidak dapat dikeluarkan selepas 30 minit kelahiran bayi. Maka risiko untuk mendapat pendarahan juga meningkat pada masa itu.

Apa jenis rawatan yang digunakan sekarang untuk masalah ini?

Tidak ada banyak perkara yang kita boleh lakukan. Kebiasaannya jika placenta accreta didiagnosis sebelum kelahiran (mungkin oleh imbasan ultrabunyi) maka kelahiran tersebut boleh dirancang. Kelahiran yang dirancang adalah lebih baik kerana segala persiapan dari segi dewan bedah, bekalan darah, doktor bius, doktor perbidanan dan alat-alat pembedahan yang perlu dapat disediakan dengan lebih awal. Cuba bayangkan jika pembedahan ini tidak dirancang dan tiba-tiba pendarahan yang banyak berlaku. Tiba-tiba tabung darah pula tidak mempunyai bekalan darah yang cukup untuk diberikan kepada wanita tersebut yang telah mengalami kehilangan darah yang banyak. Keadaan ini adalah sangat kritikal dan kadang-kadang nyawa pesakit juga boleh melayang.

Cara yang terbaik adalah pembedahan caesarean yang dirancang dan teruskan dengan pembedahan histerektomi (pembuangan rahim) jika terpaksa bagi kes yang telah didiagnosis sebelum kelahiran. Bagi kes wanita yang masih ingin hamil pada masa hadapan, mungkin pembedahan pembuangan plasenta sebanyak yang boleh diperlukan dan hanya tinggalkan sedikit daripada bahagian plasenta yang melekat.

Selepas itu wanita tersebut perlu diberikan antibiotik dan mungkin juga ubat methoxtrexate bagi mengecutkan sebahagian plasenta yang ditinggalkan jika perlu. Antibiotik perlu diberikan kerana sebahagian plasenta yang tinggal akan mengecut dan nekrotik. Keadaan ini kadang-kadang boleh menyebabkan jangkitan kuman. Pada masa sama, wanita ini perlu pemindahan darah yang banyak dan dirawat di hospital dalam jangka masa lebih lama berbanding kelahiran normal.

Bolehkah rahim diselamatkan jika mengalami masalah ini?

Tak semestinya, ada yang boleh diselamatkan dan ada yang tidak. Perkara ini bergantung kepada situasi dan keadaan wanita tersebut semasa kelahiran. Doktor akan cuba sedaya upaya untuk menyelamatkan wanita dan juga rahim wanita tersebut, tetapi jika keadaan tidak mengizinkan dan nyawa wanita amat kritikal maka doktor terpaksa meneruskan dengan pembedahan histerektomi.

Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

klik tengah nuffnang